1Malaysia adalah gagasan bagi mengharmonikan rakyat pelbagai kaum di negara ini tanpa mengubah identiti kaum-kaum tersebut. Konsep Malaysian Malaysia pula adalah satu dasar yang mahu menggagalkan terus asas binaan kemasyarakatan yang wujud itu. Keadilan yang dicanangkan dalam konsep Malaysian Malayisa diambil secara membuta tuli dengan mengambil konsep kesamarataan versi total.
Di samping menjaga kepentingan semua kaum,konsep 1Malaysia juga menekankan soal integrasi dan pewujudan bangsa Malaysia. Berbeza dengan Malaysian Malaysia yang hanya terbatas kepada kesamarataan hak tanpa mengambil kira realiti dan sejarah negara Malaysia.
Perpaduan yang digambarkan oleh gagasan 1Malaysia amat berbeza dari konsep asimilasi yang diamalkan di negara-negara lain di mana identity kaum-kaum etnik dilenyapkan dan diganti dengan satu identiti nasional yang sama.
Sebaliknya 1Malaysia menghargai dan menghormati prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan serta identiti-identiti etnik setiap kaum di Malaysia, dan menganggapnya sebagai satu aset atau kelebihan yang patut dibanggakan.
1Malaysia menekankan sikap penerimaan di kalangan rakyat berbilang kaum, di mana sesuatu kaum menerima keunikan kaum yang lain seadanya agar dapat kita hidup bersama dalam keadaan saling hormat menghormati sebagai rakyat dalam satu negara.